Infrastruktur yang lemah undurkan BTP ke belakang
PENDAPAT
Oleh Mohd Sazuki
Ketua Pemuda PAS BTP
Saya terpanggil untuk membincangkan tentang keadaan suasana persekitaran Bandar Tasik Puteri (btp) yang mengalami pertumbuhan yang boleh dikatakan agak lembab. Ia bertambah lembab lagi sejak kenaikan harga minyak yang luar biasa baru-baru ini.
Mungkin ramai yang meletakkan faktor jarak yang agak jauh dari pusat bandaraya dan bukan laluan utama sebagai penyebab utama.Tetapi, bagi saya, faktor tersebut bukanlah penyebab utama yang menyumbang di atas kelembapan pertumbuhan BTP ini.
Antara yang boleh di ketengahkan adalah seperti kemudahan prasarana yang tidak mencukupi seperti ketiadaan stesen minyak, bank, balai bomba, pusat kesihatan kerajaan, pasar tersusun dan lain-lain kemudahan yang belum tersedia seperti yang telah diwar-warkan pemaju semasa berkempen menjual rumah satu waktu dulu.
Ini boleh menyebabkan nilai pasaran rumah tidak meningkat. Antara masalah yang besar ialah terdapat banyak rumah lelong berpunca daripada penduduk yang keluar dari Bandar Tasik Puteri dan membeli rumah lain atau menyewa tetapi rumah mereka tidak dapat dijual oleh kerana nilai pasaran adalah terlalu rendah.
Banyak bank yang tidak mahu membiayai pembelian rumah di BTP kerana prestasi yang kurang baik. Jadi, apabila apabila ramai yang tidak dapat meneruskan bayaran bulanan, pihak bank mengambil tindakan melelong rumah pemilik.
Daripada sumber dipercayai, walaupun rumah dilelong dengan harga murah, tapi masih belum dapat menarik pembeli untuk datang ke BTP atas alasan kekurangan kemudahan prasarana seperti dinyatakan di atas.
Selain dari itu, akibat banyaknya rumah kosong yang terbiar menyebabkan berlaku masalah sampingan seperti masalah nyamuk membiak, tempat mat gian menjadikan sebagai sarang mereka, kecurian berleluasa dan sebagainya.
Perkara sebegini tidak berapa diambil peduli oleh pihak pemaju selain daripada memikirkan bagaimana hendak menjual unit-unit baru rumah dan kedai mereka.
Selain itu, kurang menyerlahnya persatuan penduduk (tidak seperti sewaktu mula penubuhannya) juga menjadi punca perkara ini berlaku. Suara-suara penduduk berkumandang di warung-warung kopi tentang masalah yang sama tetapi tidak dapat disalurkan kepada pihak yang betul kerana tiada satu tempat yang sesuai untuk mengadu.
Mungkin pihak pemaju terpaksa bekerja lebih sikit untuk menyelesaikan permasalahan di atas tetapi bagi saya jika perkara yang ditimbulkan dapat diatasi, secara tidak langsung ia akan membantu peningkatan jualan kepada unit baru. Ini kerana mungkin ramai yang akan mempertimbangkan untuk menjadikan BTP sebagai pilihan kediaman baru. Saya katakan ini bukan untuk menyalahkan pemaju semata-mata, tetapi di atas sikap ingin memainkan peranan masing-masing untuk kesejahteraan penduduk BTP.
Perkara-perkara di atas mungkin telah banyak kali disuarakan tetapi oleh kerana tiada satu tindakan susulan yang berkesan menjadikannya tiada berkesudahan.
Satu lagi perkara yang boleh diambil perhatian oleh pihak pemaju dan juga mungkin MPS adalah untuk menaiktaraf jalan dari Green Valley ke Batu Arang secepat mungkin. Ini kerana, bagi saya projek ini juga boleh membantu menaikkan ekonomi BTP kerana bolah menjadikan laluan utama Rawang ke Batu Arang ke Batang Berjuntai dan satu lagi jalan dari Blok 3 (pejabat pemaju) ke pekan Kundang.
Jalan-jalan ini boleh membantu penduduk mengurangkan kos petrol yang terpaksa mereka alami kini jika melalui jalan luar yang sangat jauh selain dari menjadikan BTP laluan utama ke Batu Arang.
Selain dari itu PAS cawangan BTP dan GVP boleh membantu pemaju dan MPS untuk merealisaikan perkara di atas secepat mungkin atau sebagai pemangkin. Kita juga boleh mempercepatkan impian kita bersama menjadi kenyataan dan menjadikan BTP satu pusat komuniti yang terbaik seperti Kota Damansara, USJ dan sebagainya.
Bukan menunding jari tetapi membawa ke tengah agar ia dibincangkan secara ilmiah dan mendapat hasil yang baik agar tidak lagi bagai menunggu buah yang tak gugur.
Sebagai penduduk, mari kita sama-sama bincangkan.
0 comments:
Post a Comment