Wednesday, October 15, 2008

PAS BTP bantu bersih rumah terbakar


PINEWOOD, 15 Oktober: Malang tidak berbau dan itulah yang dialami oleh dua keluarga yang tinggal di apartment Pinewood, Bandar Tasik Puteri pada hari raya kedua yang lalu.

Unit-unit rumah Encik Harun Ahmad dan Masri Said terbakar pada hari raya kedua (Khamis 2 Oktober) baru-baru ini.

Bayangkan perasaan mereka. Ketika seronok beraya di kampung, rumah mereka di sini terbakar di jilat api. Namun, ia tidaklah sampai memusnahkan keseluruhan rumah mereka tetapi banyak barangan rumah mereka tidak boleh digunakan lagi.

Ekoran itu, PAS cawangan Bandar Tasik Puteri serta penduduk tempatan membuat gotong royong membersihkan rumah dua keluarga malang itu pada Ahad 12 Oktober baru-baru ini.

Program ini diketuai oleh Naib Ketua PAS Cawangan BTP, Mazlan Moin dengan turut disertai oleh 15 yang lain yang terdiri dari AJK PAS Cawangan, ahli serta penduduk tempatan di samping pegawai masjid BTP.

Sebelum itu, Penyelia DUN Kuang, Haji Abdul Rahim telah menyumbang RM500 bagi kedua keluarga malang ini untuk meringankan bebanan mereka bagi pihak kerajaan negeri.

Read more...

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

PAS Cawangan Bandar Tasik Puteri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua penduduk Bandar Tasik Puteri.


Untuk tujuan itu, dua kain rentang telah dinaikkan iaitu di Medan Puteri dan satu lagi di persimpangan jalan masuk ke Tasik Puteri.

Sebelum ini, dua kain rentang turut dinaikkan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada semua penduduk.

Read more...

Tuesday, September 23, 2008

Kira-kira 200 sertai majlis buka puasa PAS BTP


MEDAN PUTERI, 23 Sept: Kira-kira 200 ahli PAS serta keluarga masing-masing di samping ahli kariah surau As Siddiqin menyertai majlis berbuka puasa anjuran PAS cawangan Bandar Tasik Puteri Sabtu 20 September lepas.

Di samping itu, kira-kira 50 jamaah mengadakan tahlil untuk Almarhum Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor yang bermula jam 6.45 petang.

Majlis itu dipimpin sendiri oleh pengerusi yang juga imam surau itu, Ustaz Junid Talip.

Bermula jam 10 pagi lagi, majlis gotong royong menyiang dan memasak dua ekor kambing dan 10 ekor ayam telah bermula dengan diketuai oleh ketua chef, Abang Isa.

"Majlis ini dapat merapatkan silaturahim di kalangan ahli dan keluarga di samping dapat mengeratkan hubungan di kalangan jamaah," kata Setiausaha Cawangan, Nazeri Kassim.

Seorang ahli kariah pula menyifatkan majlis berbuka puasa anjuran PAS Cawangan ini adalah paling ramai disertai sepanjang bulan puasa ini di surau itu.

Read more...

Monday, September 15, 2008

Rumah anak yatim Baitul Rabbiatul Adawiyah perlukan sumbangan anda

GREEN VALLEY, 15 Sept: Sempena dengan bulan baik ini, semua umat Islam dipelawa untuk membantu rumah anak yatim Baitul Rabbiatul Adawiyah yang terletak di no 46, Jalan 1/2, Green Valey Park, Bandar Tasik Puteri.

Menurut maklumat yang sampai kepada Blog BTP, mereka kini menghadapi krisis makanan apabila harga barangan naik mendadak sejak kebelakangan ini.

Menurut jurucakap rumah itu, mereka tidak mendapat bantuan tetap dari mana-mana pihak.

"Hanya kami yang usahakan dengan cara mengumpul sesama sendiri memberi yang termampu dan juga sedekah dari individu yang perihatin," kata jurucakap rumah itu.

Kepada sesiapa yg perihatin yang tinggal berdekatan, hulurkan bantuan yang termampu kepada rumah ini sebagaimana alamat berikut: NO. 46 JALAN 1/2 GREEN VALLEY PARK, BANDAR TASIK PUTERI, 48000 RAWANG atau masukkan sumbangan anda terus ke akaun Maybank : 106016084754, Norhatiah Muhamed.

Hubungi Ummu Liza - 012 2663649 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Read more...

Majlis berbuka puasa PAS BTP 20 September

OAK, 15 Sept: Semua ahli PAS Bandar Tasik Puteri serta keluarga masing-masing dijemput untuk menyertai Majlis Berbuka Puasa yang akan diadakan di Surau As Siddiqin hari Sabtu, 20 September ini.

Turut dijemput adalah semua jamaah surau itu serta keluarga masing-masing.

Majlis berbuka itu akan dianjurkan oleh PAS Cawangan Bandar Tasik Puteri. Seekor kambing serta 10 ekor ayam akan dijadikan lauk majlis berbuka itu. Ia akan dimasak secara gotong royong oleh semua AJK dan petugas yang dilantik khas untuk mengendalikan majlis ini.

"Majlis akan bermula jam 6.30 petang dengan tahlil untuk Allahyarham Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor,"kata pengarah projek ini yang juga Setiausaha PAS Cawangan, Nazeri Kasim.

Untuk memastikan persiapan menu berbuka berjalan dengan baik, semua AJK dan aktivis PAS dijemput untuk bersama-sama membuat persiapan majlis berbuka puasa ini yang bakal bermula jam 10 pagi lagi di perkarangan surau itu.

Read more...

PAS BTP naikkan papan tanda

MEDAN PUTERI, 15 Sept: Bagi mempertingkatkan kehadirannya di Bandar Tasik Puteri, PAS cawangan Bandar Tasik Puteri telah menaikkan papan tanda cawangannya baru-baru ini.
Satu majlis gotong royong untuk menaikkan papan tanda itu telah diadakan pada pagi Sabtu 16 Sep 2008 yang lalu.
Papan tanda tersebut telah diletakkan di jalan 7 di simpang tiga yang memisahkan Sek Keb BandarTasik Puteri, tapak pasar malam dan kawasan perumahan blok 7 (Oak).

Beberapa ahli PAS cawangan Bandar Tasik Puteri telah bersama-sama menjayakan gotong royong tersebut.

Naib Ketua Cawangan PAS Bandar Tasik Puteri, Sdr Mazlan Abdul Moin yang hadir bersama dalam majlis gotong royong tersebut melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli tersebut.

Sebelum ini, PAS BTP juga telah menaikkan dua sepanduk mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadhan Al Mubarak.

Read more...

Friday, July 18, 2008

Hampir 500 sertai ceramah PAS di Bandar Tasik Puteri

PADANG OAK, 17 Julai: Hampir 500 penduduk Bandar Tasik Puteri dan sekitarnya menyertai ceramah umum anjuran PAS Cawangan BTP 16 Julai lepas.

Ceramah itu diberikan oleh tiga penceramah iaitu Dr Hatta Ramli (Bendahari PAS Pusat), Haji Muhamad (YDP PAS Selayang) dan Haji Abdul Rahim (Ketua PKR Selayang).

Ceramah umum yang julong-julong kalinya diadakan ini diadakan di Padang Oak, Bandar Tasik Puteri.

Read more...

Thursday, July 10, 2008

Dr Hatta ceramah Protes di Tasik Puteri 16 Julai

OAK, 10 Julai: Penduduk Rawang khasnya Bandar Tasik Puteri dan sekitarnya berpeluang untuk mendengar sendiri penjelasan tentang kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan sebelum ini melalui Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli Rabu depan.


Dr Hatta akan memberikan ceramah khas tentang kenaikan harga minyak ini dan mengapa orang ramai perlu bersatu untuk memprotesnya bagi kepentingan bersama.

Dr Hatta akan memberikan ceramah itu di Jalan 7/18, bersebelahan Padang Oak, Bandar Tasik Puteri mulai jam 9.15 malam 16 Julai depan.

Turut serta berceramah bersama beliau adalah beberapa lagi pemimpin PAS dan juga PKR.
Ceramah ini adalah anjuran pertama PAS Cawangan Bandar Tasik Puteri.

Menurut Pengarah Program ini, Saiful Nizam, ceramah ini sangat bertepatan dengan waktunya kerana antara pihak yang paling terasa dengan kenaikan harga minyak sekarang adalah penduduk Bandar Tasik Puteri.

"Kebanyakan penduduk di sini bekerja di KL. Apabila berlaku kenaikan harga minyak, kami antara yang paling menderita kerananya.

"Sebab itu kita lihat ramai di kalangan penduduk mulai membeli motosikal untuk berulang ke pejabat atau yang lebih ekstrem lagi berpindah terus dari sini," kata Saiful kepada Blog PAS BTP.

Oleh itu, semua pihak dijemput untuk bersama-sama mendengar perkara ini dari mulut pihak yang paling layak sekali bercakap mengenai perkara ini iaitu Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Protes adalah badan yang ditubuhkan oleh NGO dan parti politik untuk menganjurkan secara khusus program untuk memprotes kenaikan harga minyak ini.

Yang terbaru, mereka menganjurkan demo semacam karnival di Stadium Kelana Jaya, 6 Julai lepas.

Read more...

Tuesday, July 8, 2008

Infrastruktur yang lemah undurkan BTP ke belakang

PENDAPAT
Oleh Mohd Sazuki
Ketua Pemuda PAS BTP

Saya terpanggil untuk membincangkan tentang keadaan suasana persekitaran Bandar Tasik Puteri (btp) yang mengalami pertumbuhan yang boleh dikatakan agak lembab. Ia bertambah lembab lagi sejak kenaikan harga minyak yang luar biasa baru-baru ini.

Mungkin ramai yang meletakkan faktor jarak yang agak jauh dari pusat bandaraya dan bukan laluan utama sebagai penyebab utama.Tetapi, bagi saya, faktor tersebut bukanlah penyebab utama yang menyumbang di atas kelembapan pertumbuhan BTP ini.

Antara yang boleh di ketengahkan adalah seperti kemudahan prasarana yang tidak mencukupi seperti ketiadaan stesen minyak, bank, balai bomba, pusat kesihatan kerajaan, pasar tersusun dan lain-lain kemudahan yang belum tersedia seperti yang telah diwar-warkan pemaju semasa berkempen menjual rumah satu waktu dulu.

Ini boleh menyebabkan nilai pasaran rumah tidak meningkat. Antara masalah yang besar ialah terdapat banyak rumah lelong berpunca daripada penduduk yang keluar dari Bandar Tasik Puteri dan membeli rumah lain atau menyewa tetapi rumah mereka tidak dapat dijual oleh kerana nilai pasaran adalah terlalu rendah.

Banyak bank yang tidak mahu membiayai pembelian rumah di BTP kerana prestasi yang kurang baik. Jadi, apabila apabila ramai yang tidak dapat meneruskan bayaran bulanan, pihak bank mengambil tindakan melelong rumah pemilik.

Daripada sumber dipercayai, walaupun rumah dilelong dengan harga murah, tapi masih belum dapat menarik pembeli untuk datang ke BTP atas alasan kekurangan kemudahan prasarana seperti dinyatakan di atas.

Selain dari itu, akibat banyaknya rumah kosong yang terbiar menyebabkan berlaku masalah sampingan seperti masalah nyamuk membiak, tempat mat gian menjadikan sebagai sarang mereka, kecurian berleluasa dan sebagainya.

Perkara sebegini tidak berapa diambil peduli oleh pihak pemaju selain daripada memikirkan bagaimana hendak menjual unit-unit baru rumah dan kedai mereka.

Selain itu, kurang menyerlahnya persatuan penduduk (tidak seperti sewaktu mula penubuhannya) juga menjadi punca perkara ini berlaku. Suara-suara penduduk berkumandang di warung-warung kopi tentang masalah yang sama tetapi tidak dapat disalurkan kepada pihak yang betul kerana tiada satu tempat yang sesuai untuk mengadu.

Mungkin pihak pemaju terpaksa bekerja lebih sikit untuk menyelesaikan permasalahan di atas tetapi bagi saya jika perkara yang ditimbulkan dapat diatasi, secara tidak langsung ia akan membantu peningkatan jualan kepada unit baru. Ini kerana mungkin ramai yang akan mempertimbangkan untuk menjadikan BTP sebagai pilihan kediaman baru. Saya katakan ini bukan untuk menyalahkan pemaju semata-mata, tetapi di atas sikap ingin memainkan peranan masing-masing untuk kesejahteraan penduduk BTP.

Perkara-perkara di atas mungkin telah banyak kali disuarakan tetapi oleh kerana tiada satu tindakan susulan yang berkesan menjadikannya tiada berkesudahan.

Satu lagi perkara yang boleh diambil perhatian oleh pihak pemaju dan juga mungkin MPS adalah untuk menaiktaraf jalan dari Green Valley ke Batu Arang secepat mungkin. Ini kerana, bagi saya projek ini juga boleh membantu menaikkan ekonomi BTP kerana bolah menjadikan laluan utama Rawang ke Batu Arang ke Batang Berjuntai dan satu lagi jalan dari Blok 3 (pejabat pemaju) ke pekan Kundang.

Jalan-jalan ini boleh membantu penduduk mengurangkan kos petrol yang terpaksa mereka alami kini jika melalui jalan luar yang sangat jauh selain dari menjadikan BTP laluan utama ke Batu Arang.

Selain dari itu PAS cawangan BTP dan GVP boleh membantu pemaju dan MPS untuk merealisaikan perkara di atas secepat mungkin atau sebagai pemangkin. Kita juga boleh mempercepatkan impian kita bersama menjadi kenyataan dan menjadikan BTP satu pusat komuniti yang terbaik seperti Kota Damansara, USJ dan sebagainya.

Bukan menunding jari tetapi membawa ke tengah agar ia dibincangkan secara ilmiah dan mendapat hasil yang baik agar tidak lagi bagai menunggu buah yang tak gugur.

Sebagai penduduk, mari kita sama-sama bincangkan.

Read more...

Monday, June 23, 2008

Permulaan baik bagi BTP FC

KUANG, 23 Jun: Pasukan bolasepak BTP FC memulakan kempen Kejohanan Bolasepak 11 Sebelah Piala MB Selangor (DUN Kuang) dengan baik apabila berjaya mengutip 3 mata penuh untuk perlawan pertama dan kedua mereka.

Semalam, BTP FC menewaskan Veteran Sungai Serai dengan 1 - 0 selepas menewaskan BBK 3-1 minggu lalu.

Dalam perlawanan pertama mereka, penyerang BTP FC, Faiezal Iskandar berjaya menyudahkan sepakan sudut Mohd Azam dengan tandukan yang cantik pada minit ke 17 untuk BTP FC mendahului 1-0.

Pada minit ke 25, Mohd Azam berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan BBK dan membuat rembatan kencang menewaskan penjaga gol BBK. BTP FC mendahului BBK 2-0 setelah tamat babak pertama.

Setelah babak kedua bermula, pemain BTP FC agak sedikit terleka dan menyebabkan penyerang BBK menjaringkan gol hasil rembatan kencang Prem Kumar.

Selepas itu pemain BTP lebih berhati-hati. Kemasukan Mohd Amran menggantikan ketua pasukan, Aminudin, ternyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya menanduk masuk hantaran Mohd Azam daripada tendangan percuma di luar kotak penalti.

Pengurus pasukan, Ahmad Mahir yang sedang bercuti, ketika dihubungi melahirkan rasa gembira dan mengucapkan syabas kepada anak buahnya kerana memenangi perlawanan ini.
"Saya mengharapkan prestasi ini akan diteruskan pada perlawanan yang akan datang," ulas beliau.

Dua lagi perlawanan pada hari yang sama melihatkan pasukan Batu Arang B menewaskan Kg Setia 1-0 dan pasukan Pekan Kuang mengalahkan Kuang United juga dengan jaringan 1-0.

Read more...

Remaja dijemput sertai kejohonan Street Soccer

OAK, 23 Jun: Para remaja berusia 15 tahun ke bawah di jemput menyertai kejohanan “Street Socccer” anjuran Surau As-Siddiqin yang akan diadakan 28 Jun ini.

Menurut jurucakap surau itu, Saudara Sazuki Awang, program itu akan berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang dan bakal menyediakan hadiah-hadiah yang menarik.

Makan tengahari juga akan disediakan untuk semua yang hadir di samping para peserta.
Hamper dari surau akan diberikan untuk setiap pasukan di samping sijil penyertaan.

Tempat pertama akan menerima trofi kejohanan, piala, hamper dan sijil mankala tempat kedua akan menerima medal, hamper dan sijil.

Dua lagi pasukan yang menang akan menerima medal , hamper dan sijil.

Yuran penyertaan kejohonan ini adalah RM15 setiap pasukan, kata Sazuki.

Borang permohonan boleh didapati dari AJK surau mulai sekarang.

Read more...

Wednesday, June 18, 2008

BTP Youngsters dapat tempat ketiga

Blok 29, 17 Jun: Pasukan bolasepak bawah 16 tahun BTP Youngsters hanya mampu mendapat tempat ke 3 dalam kejohanan bolasepak bawah 16 tahun (7 sebelah) anjuran Biro Sukan dan Sosial Lembah Hijau 29 yang telah berlangsung di padang bolasepak Blok 29.


Pasukan BTP Youngsters yang dibarisi pemain-pemain yang mempunyai skil yang tinggi gagal menggunakan peluang dengan baik ketika bermain.

“Ini disebabkan kurang persefahaman antara pemain-pemain ketika beraksi,” ulas pengurus pasukan, Nazri Abu Kassim.

Sementara pembantu pengurus, Mohd Padzli Hassan pula menganggap kegagalan mencapai kemenangan adalah disebabkan kegagalan pemain mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh pengurus ketika bermain.

Kejohanan yang dianjurkan ini telah dimenangi oleh pasukan Opah Krew yang mewakili Blok 28 setelah menewaskan pasukan pilihan Kuala Muda 1-0 pada perlawanan akhir.

Read more...

Tuesday, June 17, 2008

Hampir seratus sertai Hari Keluarga PAS BTP

Hampir seratus ahli dan keluarga PAS Bandar Tasik Puteri berkumpul di hari keluarga PAS BTP 2008 yang berlangsung di Puteri Central Park Sabtu, 14 Jun baru-baru ini.

Pelbagai acara menarik diadakan untuk merapatkan hubungan antara mereka.
Berikut adalah gambar-gambar perhimpunan bersejarah itu.


Read more...

Thursday, June 12, 2008

Selamat berhari keluarga di Puteri Center Park

OAK, 12 Jun: Semua ahli PAS Bandar Tasik Puteri berserta anggota keluarga masing-masing akan berhimpun di Puteri Center Park Sabtu ini mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Mereka akan ke sana untuk lepak-lepak sambil beramah mesra dan menguatkan ikatan silaturahim sesama mereka.

Demikian kata Setiausaha PAS BTP, Nazeri Kasim kepada Blog PAS BTP.

"Majlis akan bermula jam 8 pagi dengan pendaftaran peserta, kemudian akan diadakan sedikit majlis perasmian dan seterusnya acara masak memasak dan makan-makan," kata Nazri.

Untuk kanak-kanak pula, katanya, akan diadakan sedikit permainan untuk suka-suka dan "kami sediakan belon dan gula-gula yang banyak untuk mereka."

Untuk yang lain, kata Nazri, program bakar membakar ayam akan dibuat sambil bersembang-sembang.

"Muslimat pula akan menyediakan makanan yang kami minta pakat-pakat bawa," tambah Nazri.

Di sini juga nanti akan diadakan jualan amal untuk tabung PAS cawangan. Antaranya pakaian parti, T-shirt, topi dan sebagainya.

Sehubungan itu juga, katanya, semua AJK bersetuju untuk masing-masing membawa beehoon goreng untuk dimakan bersama dengan ayam bakar nanti.

"Untuk itu, saya menjemput semua ahli dan keluarga PAS BTP hadir dan memeriah majlis kita ini. Sila bawa tikar, makanan ke kalau ada, kita sama-sama bersembang-sembang sambil makan," tambah Nazri lagi.

Read more...

Friday, May 30, 2008

Ya Allah yang Tuhan ku, pecah belahkan musuh kami

MAPLE, 30 Mei: "Perpecahan yang berlaku dalam Umno sekarang adalah selaras dengan doa yang kita sering baca selama ini. Ya Allah, ya Tuhanku, pecah belahkan musuh kami.

"Doa inilah juga yang sering dibacakan oleh tok-tok guru kita dalam majlis munajat yang kita buat.

"Jadi tak kan selepas mereka berpecah kita mahu memperkuatkan mereka semula."

Inilah kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebagaimana yang diceritakan oleh Ketua PAS Cawangan Bandar Tasik Puteri, Zulkifli Sulong.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa istiqamah dalam perjuagan yang kita bawa dan sentiasa bergerak untuk kepentingan parti dan mandat yang telah diberikan rakyat untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Blog PASBTP.

Husam, kata Zulkifli, berkata demikian berikutan ada usaha-usaha untuk bersama-sama dengan Umno semula kononnya atas nama perpaduan Melayu dan Islam.

Read more...

Tuesday, May 27, 2008

PAS BTP akan perjuang hak gadaian 99 tahun

OAK, 27 Mei: PAS cawangan Bandar Tasik Puteri akan memperjuangkan hak penduduk bandar ini untuk mendapatkan hak gadaian tanah mereka selama 99 tahun sebagaimana yang diiklankan oleh pihak pemaju ketika mereka membeli rumah di sini.

Menurut Naib Ketua PAS cawangan BTP, Mazlan Abdul Moin, pihaknya sedang mengumpulkan dokumen-dokumen yang berkaitan bagi memfailkan kes ini ke mahkamah melalui prosedur undang-undang.

"Ketika kami membeli rumah di sini, iklannya menyebut, status tanah kami adalah gadaian 99 tahun tetapi beberapa tahun lepas kami dapati ia hanya tinggal 66 tahun sahaja lagi kerana tempoh gadaian itu telah bermula sejak tahun 1965 lagi. Ini satu kesilapan pengiklanan dan anggapan kepada pihak pemaju," kata Mazlan.

Menurut Mazlan, pihaknya telah berbincang dengan seorang peguam terkenal dan dia telah bersetuju untuk mengambil kes ini.

"Kami sekarang dalam proses membuat penilaian melalui penilai berlesen untuk menilai kesan akibat kehilangan tempoh 33 tahun itu terhadap nilai tanah tapak dan rumah kami ini. Selepas ia selesai, kita akan ke mahkamah," kata Mazlan kepada Blog PASBTP.

Sehubungan itu, penduduk BTP yang berminat untuk bersama-sama memperjuangkan nasib mereka itu boleh menghubungi Mazlan atau terus kepada Setiausaha PAS BTP Saudara Nazri (012-2118993).

Read more...

PAS Tasik Puteri anjur hari keluarga

OAK, 27 Mei: PAS Bandar Tasik Puteri akan mengadakan perhimpunan Hari Keluarganya yang pertama 14 Jun ini, kata Setiausaha cawangan itu, Nazri Abu Kassim.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat bersama antara wakil AJK Cawangan dengan AJK Dewan Muslimat Cawangan di Jalan 7/8, 23 Mei lepas.

Menurut Nazri, perhimpunan yang pertama kali bakal diadakan itu bertujuan untuk menghimpun semua keluarga PAS di Bandar Tasik Puteri dalam satu program bersama.

Ia akan diadakan di Puteri Central Park mulai jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari.

"Ini adalah majlis santai antara ahli dengan keluarga masing-masing. Kami harap ia akan menjadi landasan untuk kenal mengenal antara satu sama lain," kata beliau kepada PASBTP.

Sehubungan dengan itu, semua ahli PAS di Bandar Tasik Puteri dan keluarga masing-masing dijemput ke program santai ini.

Read more...

Wartawan Siasah dilantik sebagai ketua cawangan PAS

OAK, 27 Mei: Seorang wartawan akhbar Siasah, Zulkifli Sulong telah dipilih sebagai ketua baru PAS Cawangan Bandar Tasik Puteri baru-baru ini. Zulkifli dipilih dalam mesyuarat agung yang diadakan di Jalan 7/8.

Mesyuarat itu juga telah memilih Mazlan Abdul Moin sebagai Naib Ketua Cawangan di samping Mohd Sazuki Awang sebagai Ketua Pemuda dan Puan Kamrinupus Hasan sebagai Ketua Muslimat di samping lima AJK.

Mereka adalah Junaid Talip, Mohamad Zaini Embi, Mohamat Hasni Marlan, Jamalulain Hassan dan Ahmad Radzuan Idris.

Dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Cawangan selepas itu, Nazri Abu Kassim telah dilantik sebagai Setiausaha, Saifuznizam bin Hasan sebagai penolongnya, Abdul Satar Mohamad telah dilantik sebagai Bendahari manakala Adzis Yaakob dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Read more...

SEJARAH PAS BTP

Pas BTP telah ditubuhkan pada.....

Followers

  © Di bangun dan diuruskan oleh: www.teacawan.com by Adik Mohamad b. Hj. Man 2008

Back to TOP