ISTIQOMAH DALAM PERJUANGAN MARTABATKAN ISLAM
Beramal jangan bermusim, jangan ada turun naiknya. Kalau sudah beribadah, mesti terus beribadah. Kalau sudah berukhwah, terus berukhwah. Kalau tinggalkan maksiat, terus tinggalkan. Jangan sekali buat, sekali tinggalkan. Begitu juga dengan berjuang, berdakwah dan sebagainya, hendaklah berjuang dan berdakwah terus.
Jangan kadang-kadang beribadah, kadang-kadang tidak.
Jangan kadang-kadang berukhwah, kadang-kadang tidak.
Jangan kadang-kadang berjuang, kadang-kadang tidak.
Jangan kadang-kadang berdakwah, kadang-kadang tidak.
Bukan sahaja perintah suruhan, malahan perintah larangan pun mesti ditinggalkan secara istiqamah. Dengan kata lain, beramal hendaklah secara tetap, secara rajin dan terus menerus.
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW:
"Ahabba `amala ilallahi `azzawajalla adwamuhu wain qalla "
Maksudnya;
" Amalan yang disukai Allah ialah yang dibuat secara istiqamah sekalipun sedikit." (Riwayat Bukhari)
Apakah yang dimaksudkan dengan sedikit? Sekiranya tidak dihuraikan, nanti akan ada orang yang mengambil kesempatan dengan berkata,
"Yang penting istiqamah, tetap Allah terima walaupun sedikit, Jadi, saya hendak sembahyang sahaja. Saya akan tetap sembahyang sampai mati. Puasa, naik haji, zakat, berkorban dan sebagainya tak payah buat."
Sebenarnya sedikit yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW itu adalah pada amalan-amalan sunat. Istiqamah itu dalam amalan sunat. Amalan fardhu atau wajib mesti selesai. Amalan fardhu dan wajib tidak boleh ditinggalkan. Jumlahnya tetap dan ia mesti dibuat secara berterusan. Istiqamah tidak perlu disebut pada amalan yang wajib atau fardhu.
Amalan yang istiqamah akan memberi kesan pada roh atau hati seseorang. Macamlah titisan air, walaupun ia kecil dan lembut tetapi jika ia menitis sepanjang masa, lama kelamaan batu pun akan lekuk. Sebaliknya, air banjir yang datang setahun sekali atau dua tahun sekali, walaupun besar tetapi ia tidak dapat melekukkan batu. Tegasnya, amalan sunat yang istiqamah sangat memberi kesan kepada hati. Kesannya dapat dilihat pada gerak geri. Ia membuahkan akhlak yang mulia. Sebaliknya amalan sunat yang dibuat walaupun banyak tetapi tidak secara istiqamah, ia tidak memberi kesan kepada jiwa dan peribadi seseorang.
Istiqamah it ada lahir dan ada batin. Istiqamah dalam amalan lahir itu mudah. Tetapi istiqamah dalam amalan batin itu susah. Hendak berterusan dalam sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya, itu senang. Tetapi hendak berterusan dalam berkasih sayang, merendah diri, sabar, tawadhuk, redha, pemurah, bertaubat dan lain-lain, itu yang susah. Jangan minta jadi wali tetapi mintalah istiqamah batiniah. Istiqamah batiniah itu ialah kewalian. Istiqamah batiniah itu ialah karamah.
0 comments:
Post a Comment