Mendaulatkan Syariat Islamiyyah
Negara Islam ialah negara yang mendaulatkan Hukum Allah SWT, di mana ia mestilah dibuktikan dengan perkara-perkara berikut:
1. Syariat Islamiyyah hendaklah menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan Perlembagaan, Perundangan dan segala nizamnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah dipesankan dengannya akan Nabi Nuh, yang diwahyukan kepadamu dan dipesankan dengannya akan Ibrahim, Musa dan Isa agar kamu menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya."
Jika negara itu dari awal-awal lagi tidak meletakkan Islam ke taraf tersebut seperti hanya diberikan tempat dan ruang di dalam Perlembagaan, di samping mengizinkan hukum-hukum lain mengatasi Hukum Islam maka ia dianggap syirik dan tiada nilai keIslaman yang sebenar di dalam kegiatan Islam atau yang bernama Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada Nabi-Nabi sebelummu, jika kamu syirik nescaya akan hapuslah amalan dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang rugi."
Apa yang tersebut bukanlah suatu kongkongan daripada keteguhan. Jalan yang ada di dalam Islam sudah cukup untuk memberi peluang yang seluas-luasnya kepada negara yang mengendalikan urusannya dan sebarang penerimaan yang lain adalah anggapan seolah-olah Islam ini tidak mempunyai kesempurnaan, Na'uzu billai min zalik.
2. Syariat Islamiyyah itu hendaklah diletakkan paling tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Iaitu janganlah ada hukum atau undang-undang lain yang mengatasi hukum atau undang-undang atau mengatasi syariat Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Adalah bertentangan dengan Islam bahkan menipu rakyat apabila sesebuah negara menjadikan Islam sekadar agama Negara atau Islam dijadikan salah satu sumber rujukan sahaja dan sebaliknya mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.
3. Perlaksanaan yang syumul (menyeluruh). Sebagaimana yang di fahami, Islam adalah agama yang syumul dan sempurna. Ajarannya mencakupi segala aspek kehidupan seperti aqidah, syariah, akhlak dan nizam, kerohanian dan kebendaan, kepentingan individu dan masyarakat. Tiap-tiap aspek ini berhubungkait di antara satu sama lain. Tanpa perlaksanaan yang menyeluruh nescaya akan gagal untuk mengatasi segala masalah. Oleh itu wajiblah bagi Negara Islam itu melaksanakan sifatnya yang syumul.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada perkara-perkara yang dilakukan secara tadaruj (berperingkat) tetapi penerimaannya sebagai dasar negara secara menyeluruh adalah wajib. Islam tidak mengiktiraf penerimaan secara serpihan sahaja. Sesungguhnya melaksanakan Islam secara serpihan sahaja adalah suatu penyelewengan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu."
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang dengan pertolongannya menghalang perlaksanaan hukum Hudud (kanun Kesiksaan) maka sesungguhnya ia menentang Allah pada hukum-Nya."
Jika membatalkan satu Hukum Allah di anggap menentang-Nya dan derhaka maka bagaimana dengan mereka yang membatalkan lebih dari satu?
0 comments:
Post a Comment