Monday, May 11, 2009

SEJARAH HITAM UMNO PERAK & MEMANG MB HARAM TU PUN HITAM

Krisis yang Umno cetuskan di Perak bakal menjadi sejarah hitam yang tidak akan dilupakan oleh generasi sekarang dan akan datang.

Sejarah hitam pertama adalah serangan ke atas institusi Raja. Semua orang tahu rakyat Malaysia menerima sistem raja berperlembagaan di negara ini. Namun disebabkan krisis di Perak, kita menyaksikan betapa ada rakyat yang tidak dapat mengawal kemarahan mereka.

Maka berlakulah siri 'menyerang' laman web Istana Perak dengan kalimah-kalimah yang tidak sampai hati untuk kita luahkan di sini. Ia akhirnya membawa kepada pendakwaan beberapa individu di bawah Akta Hasutan 1948. Umno tidak boleh lari dari sejarah hitam ini.

Sejarah hitam kedua dari krisis Perak ciptaan Umno adalah buat kali pertamanya di dalam negara ini institusi Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilibatkan sama bagi menyiasat kuasa seorang Speaker Dewan Undangan Negeri. Ianya tidak pernah berlaku dan tidak pernah diimpikan akan berlaku. Namun kerana ketamakan kuasa apa yang dulu hanya sebuah mimpi kini sudah menjadi realiti. Selamat menyambut sejarah hitam ini.

Sejarah hitam yang ketiga dari krisis Perak ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan yang sepatutnya hanya bertanggungjawab menerima keputusan Speaker yang memutuskan sesuatu kerusi Dun sebagai kosong tidak lagi berminat menjalankan kerja suci tersebut. Sebaliknya SPR lebih seronok untuk terus menerus menjadi parti komponen BN yang tidak rasmi apabila enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi Dun-Dun yang telah diisytiharkan kosong oleh V Sivakumar.

Sejarah hitam yang keempat dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya Mahkamah sendiri sanggup membocorkan maklumat kepada akhbar bahawa saman yang difailkan oleh Sivakumar mengandungi kecacatan sedangkan saman tersebut belum didengar lagi oleh pihak Mahkamah.

Pembocoran maklumat tersebut sengaja dilakukan dan dipercayai dilakukan oleh seorang yang berpangkat tinggi di Mahkamah Tinggi Ipoh semata-mata untuk mengaibkan Sivakumar dan Pakatan Rakyat. Ini adalah satu sikap paling tidak profesional yang ditunjukkan oleh sebuah institusi kehakiman namun apabila Umno terlibat tiada lagi perkara yang pelik dan ajaib.

Sejarah hitam yang kelima dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya seorang Speaker Dun dilarang untuk diwakili oleh peguam pilihannya sendiri semasa beliau di saman oleh Zambry. Sivakumar telah dipaksa oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh untuk diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Perak. Apa yang mendukacitakan lagi hasrat speaker untuk mewakili dirinya sendiri pun tidak dibenarkan oleh Hakim yang sama.

Agak baik sedikit sejarah hitam tersebut dapat diselamatkan dari diarkibkan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan yang paling tidak masuk akal tersebut. Untuk makluman, Speaker tidak mahu diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri kerana penasihat yang sama juga telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk beliau dibenarkan mewakili Zambry. Jadi bagaimana beliau boleh bertindak secara bebas dan menjaga kepentingan Sivakumar?

Sejarah hitam yang keenam adalah Speaker dan Adun Pakatan Rakyat yang sah dan dipilih oleh rakyat tidak dibenarkan untuk mengadakan sidang di dalam dewan persidangan kerana dewan telah dikunci dan dirantai serta dikepung oleh polis. Akhirnya sejarah hitam mencatatkan buat pertama kalinya sidang Dun Perak berlangsung di bawah pokok.

Takutnya Umno pada sidang Dun di bawah pokok sehinggakan apabila Pakatan Rakyat membina tugu dan plak bagi mengimbau kisah manis tersebut, Umno menggunakan (baca salahguna) Majlis Perbandaran Ipoh untuk memusnahkan tugu tersebut.

Sejarah hitam yang ketujuh dari krisis Perak ini adalah Umno yang terkenal sebagai penderhaka Agung kepada institusi Raja dengan tanpa segan silu sanggup memfitnah Dato? Seri Nizar sebagai penderhaka hanya kerana ungkapan mahsyur Dato Seri Nizar kepada Tuanku Sultan iaitu "patik memohon sembah derhaka".

Meskipun Umno berhempas pulas mengeksploitasi isu tersebut ia tidak langsung menjejaskan kemenangan Nizar di Bukit Gantang. Jika pun isu derhaka itu berkesan ia hanyalah berkesan bagi pengundi di saluran satu yang boleh kita sifatkan sebagai 'pengundi saluran derhaka'.

Sejarah hitam yang kelapan adalah 'bapa kepada segala sejarah hitam'. Sejarah ini hanya boleh wujud jika di dalam sesebuah negara tersebut wujudnya parti politik gila seperti Umno yang dah sampai ke tahap ketagihan kuasa tahap kritikal.

Mabuk dan ketagih dengan kuasa Umno sanggup mengundang Mahkamah yang paling tinggi di negara ini iaitu Mahkamah Persekutuan untuk membunuh doktrin pengasingan kuasa (separation of powers).

Jika selama ini Mahkamah di negara ini masih menahan dirinya dari campur tangan atau mengganggu urusan Parlimen atau Dun kerana menghormati doktrin pengasingan kuasa, kini doktrin tersebut telah pun disemadikan oleh lima orang hakim Mahkamah Persekutuan tersebut.

Ingatlah sejarah hitam ini berlaku ketika mana Ketua Hakim bagi negara ini masih dipegang oleh bekas pemimpin yang pernah berkhidmat dengan Umno.

Apa yang berlaku pada 7 Mei 2009 lalu adalah sejarah hitam yang kesembilan. Sama-sama kita saksikan kesudahannya.

Petikan ulasan Sdr Hanipa Maidin

0 comments:

SEJARAH PAS BTP

Pas BTP telah ditubuhkan pada.....

Followers

  © Di bangun dan diuruskan oleh: www.teacawan.com by Adik Mohamad b. Hj. Man 2008

Back to TOP